Rabu, Oktober 17, 2012

Fenomena Di Tempat Kerja



Assalamualaikum. Kali ini saya ingin mengajak anda semua berfikir mengenai satu fenomena, iaitu kata mengata, atau umpat mengupat di tempat bekerja. Apabila berada di tempat kerja, sudah pasti terdapat banyak ragam dan kerenah manusia yang dapat kita lihat. Mari kita lihat satu persatu antara perkara yang dapat saya simpulkan.

Dia mungkin juga mengata anda

Pernahkah anda terfikir apabila terdengar orang mengata, dia mungkin juga mengata anda di belakang anda? Oleh sebab itulah saya tidak gemar mendengar atau ambil peduli sangat mengenai gossip atau cacian yang dilemparkan. Cukuplah sekadar saya mendengar, atau pun sekadar mengangguk. Golongan seperti ini sukar untuk dipercayai.

Jangan cari keburukan orang, nilai kelemahan diri sendiri

Setiap manusia ada kekuatan dan kekurangan. Jangan sesekali kita berjalan di bumi Allah dengan perasaan takbur. Kita bukannya Tuhan yang mampu menilai insan. Di mata kita, mungkin sesuatu itu tidak elok atau ada cacat cela, tapi padaNya mungkin berbeza sama sekali. Sebaliknya kita perlu mengkaji kelemahan diri sendiri dan sedar bahawa kita tidak dilahirkan sempurna. Ingat, orang yang anda umpat itu mungkin lebih baik, lebih bijak, atau lebih berjaya berbanding anda.

Jadilah manusia yang mengenang budi

Kita tidak dapat melaksanakan tugas seorang diri. Sebaliknya, kita memerlukan bantuan, atau pun sokongan dari rakan-rakan. Bermakna kita perlu bekerjasama dan saling hormat menghormati. Cuba anda amati, orang yang anda kutuk, mungkin satu masa dahulu pernah memberikan bantuan kepada anda? Walaupun dalam bentuk pertolongan yang kecil. Dia mungkin pernah menolong anda meringankan beban tugas kerja dan sebagainya.Tidakkah anda berasa bersalah mengatanya? Manusia cepat benar lupa. Sepatutnya kita menjadi manusia yang lebih mengenang budi.


Fikir-fikirkan dan selamat bekerja...

1 ulasan:

Kalau baik hati, komen lerr sikit... :P