“Selepas melihat ayah di angkat ke langit, mak terkejut lalu meninggal dunia. Abang kedua saya pula menjadi batu dan adik saya mati dalam kemalangan jalan raya,” katanya mengenai visual itu semasa membacakan keterangan membela diri terhadap pertuduhan membunuh empat anggota keluarganya itu di Kampung Batang Rokan, Gemencheh antara 7 pagi hingga 11 pagi, 5 Januari lepas.
Rasidi dituduh mengikut Seksyen 302, Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.
Dalam keterangannya di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ahmad Nafsy Yasin, katanya sehari sebelum membunuh mereka, dia tidak dapat tidur kerana asyik berkomunikasi dengan tulisan di dinding yang menyatakan ada banyak dajal dan syaitan sudah keluar di Malaysia dan tulisan itu memintanya bersabar dan banyak mengingati Allah.
“Keesokan paginya iaitu pada 5 Januari, tulisan itu sekali lagi muncul di dinding dan meminta saya menikam nenek (Sufiah Katas, 80 tahun) dan datuk (Atan Daud, 87) dengan pisau.
“Setelah itu saya pulang ke rumah dan membasuh tangan dan pisau di paip air lalu ayah saya keluar dan tulisan di dinding telah mengarahkan saya menyembelih ayah (Ismail Awang, 76 tahun) dan mengambil kepalanya dan membawanya ke Thailand,” katanya.
Katanya dia kemudian diarah menikam adiknya (Siti Khadijah). Ibu Rasidi dan anggota keluarganya yang hadir di mahkamah dilihat menangis dan sedu-sedan mereka dapat didengari ketika tertuduh membacakan keterangannya itu. Rasidi berkata dia kemudian melarikan diri ke Tampin sebelum ke Kuala Lumpur dan bermalam di sebuah hotel murah.
“Pada malam itu saya telah diadili oleh tuhan di atas pembunuhan yang saya lakukan dan saya telah dijatuhi hukuman pancung,” katanya.
Esoknya selepas menanam kepala bapanya, katanya dia pergi ke Penjara Pudu untuk menjalani hukuman pancung seperti yang “diarahkan” tetapi penjara itu sudah ditutup dan dia kemudiannya pergi ke mahkamah dekat Dataran Merdeka, Kuala Lumpur tetapi mahkamah itu sudah berpindah.
Dalam prosiding hari ini, dua saksi turut memberikan keterangan iaitu bekas majikan Rasidi, Azhar Johari, pengarah urusan sebuah syarikat pembinaan di Shah Alam, Selangor dan bekas tunang Rasidi, Mysara Mohd Ali.
Azhar berkata Rasidi bekerja di syarikat itu dari September 2008 hingga Mei 2009 dan mendapatinya bersikap pelik selepas beberapa bulan bekerja di mana dia sering bercakap seorang diri dan gemar mengasingkan diri di dalam longkang.
Rasidi juga akan makan serta minum dengan senang hati ketika beliau memberi taklimat iaitu sesuatu yang tidak berani dilakukan oleh pekerja lain, kata Azhar semasa disoal peguam yang mewakili Rasidi, Hanif Hassan.
Mysara dalam keterangannya berkata selepas melakukan pembunuhan itu, Rasidi ada menghubunginya dengan telefon dengan berkata: “mak, bapa, abang ngah dan adik lelaki” sudah meninggal dunia. Katanya beliau mempertikaikan jumlah kematian yang ramai itu dan Rasidi memberitahu bahawa perkara itu adalah benar kerana dirinya adalah Rasulullah sebelum talian diputuskan.
Mahkamah kemudian menangguhkan perbicaraan ke 1 September depan dengan saksi terakhir iaitu pakar sakit jiwa yang pernah merawat Rasidi dijadual memberikan keterangan.
0 orang menconteng:
:a: :b: :c: :d: :e: :f: :g: :h: :i: :j: :k: :l: :m: :n: :o: :p: :q: :r: :s: :t:
Catat Ulasan
Kalau baik hati, komen lerr sikit... :P